Friday 5 August 2016

Artikel Jurnal Bidang Bahasa dan Sastera






PRO DAN KONTRA PENERBITAN KARYA SASTERA INDIE DI MALAYSIA


PENGENALAN

Sastera berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu “castera”. Kesusasteraan adalah kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Menurut Hashim Awang, sastera adalah ciptaan atau karya seni yang disampaikan melalui bahasa. Hasil seni (karyatulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu bersandar pada zaman. Peradaban dan martabat sesuatu bangsa itu dapat dilihat melalui karya tradisional atau klasik yang dimiliki dan bangsa Melayu tidak terkecuali dalam hal ini. Era Tradisional merujuk kepada dinilai sebelum wujud teknologi penerbitan (SasteraLisan) manakala moden pula merujuk kepada selepas teknologi penulisan dan boleh dibuktikan sebagai teks. Ani Hj Omar (2011) menyatakan bahawa sastera berfungsi untuk menghargai karya-karya kreatif yang telah dihasilkan oleh para penulis tanah air mahupun luar negara. Karya-karya ini ditulis dalam pelbagai genre seperti cerita rakyat, panji, epic, hikayat dan sebagainya.

Pada zaman teknologi dan kebebasan bersuara dalam menyampaikan maklumat hari ini, masyarakat dunia semakin bebas meluahkan idea serta pandangan hidup mereka dalam sesuatu isu. Setiap orang boleh menjadi penulis dan menerbitkan tulisannya dengan lebih mudah berbanding zaman dahulu. Dalam dunia penulisan hari ini, kemunculan karya-karya jenis indie ternyata mendapat saingan yang hebat dari penerbitan karya-karya sastera melayu lain. Penulisan baru yang digelar sastera atau penulisan indie telah menjadi seperti sebuah fenomena yang diminati ramai. Penulis-penulis baharu tumbuh bagai cendawan dan menjadi popular dalam sekelip mata sahaja.  Majoriti penulisnya pula adalah muda belia yang selama ini ada yang tidak dikenali langsung. Pada masa dahulu orang yang sudah terkenal dalam bidang masing-masing yang menulis buku untuk kongsikan pengalaman dan pandangan hidup mereka, tetapi pada hari ini orang yang tidak dikenali menjadi terkenal kerana buku yang mencatat pandangan dan pengalaman hidup mereka.

Karya-karya indie semakin diminati oleh pengemar-penggemar sastera kerana proses penerbitan buku indie tidak dikawal dengan ketat seperti penerbitan buku lain seterusnya membolehkan karya jenis ini sentiasa mempunyai penerbitan yang terkini di pasaran. Perkembangannya yang semakin popular disebabkan wujudnya kesedaran bahawa sastera remaja bukan sahaja memberi hiburan, keseronokan dan pengetahuan, malahan merupakan wadah untuk menyampai mesej dan menerapkan unsur-unsur pembinaan insan dan seterusnya melahirkan generasi yang unggul. Perkembangan yang memberangsangkan ini dapat dilihat dengan bertambahnya manuskrip dalam pelbagai genre seperti novel, cerpen, puisi dan drama yang perlu diberi perhatian sewajarnya.


PERBINCANGAN ISU

Sastera Indie merupakan karya yang ditulis oleh pengarang baharu dan masih muda dalam penerbitan. Mereka menjadikan ruang ini sebagai alternatif untuk menyiarkan karya mereka yang santai dan terikat dengan mana-mana peraturan dalam undang-undang penerbitan kerana proses penerbitan karya inde tidak dikawal ketat oleh mana-mana pihak. Karya indie menjadi semakin diminati ramai kebelakangan ini terutamanya generasi muda kerana kandungannya bersesuaian dengan jiwa mereka. Dengan kemudahan mencetak yang murah dan cara promosi yang meluas melalui media sosial seperti Facebook atau Twitter, kemunculan karya-karya indie semakin mendominasi, bahkan menyaingi jualan dan populariti karya-karya arus perdana.

Walau bagaimanapun kemunculan karya indie menimbulkan pelbagai spekulasi tentang pro dan kontra karya tersebut. Rafidah Eksan dalam Dewan Sastera Ogos 2016 melalui sisipan reaksi dengan penulisan yang bertajuk ‘Pro dan Kontra Penerbitan Karya Sastera Indie Di Malaysia menyingkap kelebihan dan kekurangan kemunculan sastera indie ini. Antara kelebihan-kelebihannya ialah melahirkan pengarang baharu dalam bidang penulisan secara tidak langsung menambahkan lagi jumlah penulis-penulis di Malaysia. Selain itu, dengan tiada penilaian dan penapisan dari pihak berwajib mendorong penulis menghasilkan pelbagai karya-karya indie yang baru dengan pelbagai jenis penulisan. Disamping itu, penerbitan karya indie  tidak memerlukan kos yang banyak kerana kesudian syarikat-syarikat penerbitan untuk menerbitkan karya-karya mereka dan secara tidak langsung menambah pendapatan syarikat tersebut.

Perkembangan pesat karya-karya indie ini juga merupakan satu kelebihan disebabkan kaedah pemasaran yang agresif dengan mempromosikan terbitan karya-karya ini melalui kaedah sistem pesanan ringkas (SMS) dan buku elektronik (e-buku). Selain itu, penerbitan karya indie ini lebih bebas berbanding penerbitan karya sastera  lain dan harga jualan yang ditawarkan  juga mampu  dimiliki serta lebih murah berbanding  dengan buku-buku dari syarikat yang lain.

Disamping kelebihan-kelebihan karya indie,  Rafidah Eksan juga meninjau beberapa kelemahan penerbitan karya-karya tersebut. Antaranya ialah karya-karya yang terbitkan berkecenderungan memiliki kesalahan dan melanggar etika penerbitan kerana tiada proses penilaian dan penyuntingan sebelum karya itu di terbitkan. Selain itu gaya penulisan yang agresif telah melanggar nilai-nilai norma masyarakat Malaysia yang terkenal dengan penuh sifat sopan santun dan berbudi bahasa. Penerbitan karya indie juga mementingkan keuntungan kerana karaya yang diterbitkan adalah menurut permintaan pasaran dan ianya  adalah berbentuk hiburan semata-mata tanpa mementingkan aspek-aspek pembangunan dan kemajuan negara.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, tulisan-tulisan ini adalah cerminan apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat, baik ataupun buruk. Sudah semestinya karya-karya indie ini bukan negatif atau buruk kesemuanya, tetapi apa yang mahu dijelaskan di sini, ia adalah cerminan apa yang ada dalam masyarakat.



RUJUKAN


Rafidah Eksan (2016).  Pro dan Kontra Penerbitan Karya Sastera Indie Di Malaysia dalam Dewan Sastera Ogos 2016 hal. 55-57.

Mohd Hasnul Mohd Sani (2016). Meng”indie”kan kesusasteraan dalam Dewan Sastera Ogos 2016 hal. 22-24.

Razali Endun (2016).Dilema sastera melayu dalam Dewan Sastera Ogos 2016 hal. 46-48.
http://duniakesusasteraan.weebly.com







0 comments:

Post a Comment