Welcome to my blog

Salam perkenalan to all.

Sebuah Catatan Perjalanan

Jauh berjalan luas pandangan.

Sekali sekala menonton movie.. best..

Filem aksi membakar semangat!

Sepi tanpa komunikasi

Komunikasi adalah kunci yang membuka gerbang dunia baru.

Aku dan angan-angan

Kita adalah angan-angan. Aku adalah harapan, kamu adalah bayangan.

Monday 8 August 2016

Catatan Pengembaraan

LANGKAWI AKU DATANG….


 Sesi bergambar dengan penduduk kampung yang sporting

Hujung minggu lepas saya berkesempatan menghabiskan cuti hujung minggu ke Pulau Lagenda, Langkawi bersama ahli-ahli kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Teja Zon A melaksanakan Lawatan Integrasi ke KRT Kg. Kuala Teriang di Padang Matsirat. Program 3 hari 2 malam ini adalah dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasioanal (JPNIN). Objektif program ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara AJK KRT Taman Teja dengan AJK KRT Kuala Teriang serta menimba ilmu dan pengalaman baru yang boleh didapati dalam siri lawatan tersebut.


 Sebahagian dari penduduk kampong  yang menyertai aktiviti senamrobik

Kedatangan kami disambut mesra oleh penduduk kampung tersebut. Hari pertama di sana dihabiskan dengan aktiviti ramah mesra dengan penduduk-penduduk kampong. Kmai juga sempat melakukan senamrobik kepada penduduk kampong dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Daripada tinjauan yang dibuat, penduduk kampung ini kurang mendapat peluang yang sebegini kerana kedudukan kampung mereka yang terletak dipinggir bandar. Walaupun kampung mereka jauh dari bandar tapi terdapat pelbagai kemudahan seperti chalet dan restoran-restoran yang mendapat perhatian dari pelancong antarabangsa.


Selepas itu, kami dibawa melawat pondok kawalan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang aktif di kampung tersebut.
  
  

 Bergambar di depan pondok SRS


Bergambar di pintu hadapan Taman Agrotech

 Hari ke dua kami berpeluang melawat Taman Agroteknologi Stesen Mardi Langkawi. Ini lah kali pertama saya memasuki taman ini….haaa tengook tuu siap pakai baju kurung sebab lepas nie kami nak pergi makan kenduri. Tiket masuk adalah RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. Hmmm boleh tahan juga harganya tapi kami dapat percuma sahaja kerana salah seorang AJK KRT kami bertugas dengan Jabatan tersebut. Alhamdulillah….rezeki kami. Apa lagi jomm kita ronda-ronda.  Memandangkan kawasan ini luas maka pihak Agro menyediakan lori untuk kegunaan pealancong.

 Ini lah lori yang dimaksudkan itu

Yang seronok kat sini lepas jalan-jalan dengan lori tu, pemandu tu berhenti di satu tempat untuk fruit testing. Apa lagi jomm kita makan buah-buahan yang segar dari ladang…



Kami juga dibawa melawat ke ladang anggur. Walau bagaimana pun buah-buah anggur ini belum cukup matang untuk di petik….so kita bergambar saja lahhh yer…




 Kita posing jer la yerr dengan buah-buah anggur yang segar 


 Hari ke-3 di Pulau Lagenda, semestinya kami tidak melepaskan peluang untuk melawat muzium 3D.  Muzium 3D atau Langkawi Arts In Paradise ini terletak di Oriental Village adalah muzium 3D yang terbesar di Malaysia dan yang kedua terbesar di dunia. Wahhh tumpang bangga sebab muzium tu ada kat negeri kelahiran saya. Dengan keluasan 21,000 kaki, ia mempunyai 3 tingkat dan lebih dari 100 buah lukisan yang diilhamkan oleh Leading Korean Master Artists. Kos perbelanjaan membina muzium ini menelan belanja hampir 17 juta. Tiket untuk masuk ke dalam muzium adalah berharga RM 30 untuk dewasa dan RM 20 untuk kanak-kanak.


 Si pari-pari…hehe

Sebelum masuk kedalam muzium ini, semua pengunjung dikehendaki untuk membuka kasut masing-masing dan di  simpan di bahagian Shoe Rack yang terletak di pintu masuk muzium. Sebaik melangkah kaki masuk kedalam muzium tersebut…Ya Allah terpegunnya saya melihat keindahan lukisan di dinding dan dilantai dengan yang dilukis dengan begitu teliti menampakkan kehalusan dan  kesenian terpancar jelas.

 Dah lenguh kaki berjalan, berposing…jomm kita rehat sebentar di bawah payung..

Terbahagi kepada Sembilan zon yang terdiri dari zon ilusi optic, akuarium, fantasi, Mesir, Istana Lama, Interaktif, safari, klasik dan Malaysia. Setiap pelancong yang datang pasti tidak akan mengecewakan. Hampir dua jam saya berada di dalam muzium tersebut sambil berposing-posing menikmati keindahan kesenian yang diilhamkan. Jomm kita naik sampan pulak….nampak macam betul jer semua lukisan yang terdapat di sini.

  

 Naik sampan tak jumpa pulak mana pendayung nya…




Dah macam drama ‘ I dream of Jennnie’…..saya suka sangat tengok drama nie dulu-dulu…sebab suka tengok Jeannie yang cute dengan tuannya yang handsome…haha




Ohhh Mona Lisa…sapa tak kenal Monalisa sebuah karya agung lukisan Leonardo Da Vinci abad ke-15 yang kini disimpan di Muzium Louvre, Paris, Perancis. Lukisan Mona Lisa popular kerana hasil seninya menampakan lukisan itu seperti bernyawa. Mona Lisa merupakan sebuah karya agung lukisan Leonardo Da Vinci abad ke-15. Lukisan ini merupakan antara lukisan potret yang pertama yang menggambarkan model di depan landskap bayangan pelukis dan Leonardo merupakan antara pelukis yang pertama yang menggunakan perspektif udara dalam lukisan. Bila pandang lama-lama potret nie…rasa macam berhantu pulak….heee abaikan…itu hanyalah khayalan saya…



Bersama kawan-kawan di Dataran Lang 

  Destinasi saya yang terakhir adalah Dataran Lang yang merupakan mercu tanda Langkawi juga merupakan tugu tumpuan pelancong yang terkemuka di pulau Langkawi, Malaysia. Patung helang setinggi 12 meter itu menggambarkan helang yang dari mana Langkawi mendapat namanya. Kedudukan patung helang gergasi dengan sayap berkepak sedia untuk menyusur keudara menjadikannya satu pemandangan yang mengkagumkan bagi para pelancong sedia untuk mendarat di pulau ini.

Itulah sedikit sebanyak catatan saya untuk kali ini...insyaallah kita berjumpa lagi di lain masa.....jumpa lagiii yerr...

Saturday 6 August 2016

Ulasan Filem






POLIS EVO YANG MENYENGAT

Baru jer lepas tengok Polis Evo…..menarik dan mendebarkan. Saya memang suka sangat cerita-cerita yang bercorak cerita kepolisan tambah-tambah lagi cerita-cerita penyiasatan. Masih ingat lagi masa sekolah dulu-dulu, pukul 9 dah melangut denpan televisyen sebab nak tengok cerita-cerita aksi seperti McGyver,Knight Rider, Spencer for Hire, Airwolf dan beberapa lagi cerita aksi. Kepuasan melihat Polis Evo tidak sama dengan kepuasan melihat cerita-cerita yang saya katakana tadi. Mungkin juga cara dan teknologi orang luar negara yang menentukan tahap kepuasan itu. Walau bagaimana pun saya merasa bangga dengan pengarah tempatan yang berjaya menghsilkan filem ini sehingga mendapat kutipan mencecah RM 17 juta.

SINOPSIS

Polis Evo mengisahkan seorang Inspektor narkotik terbaik di Kuala Lumpur iaitu Inspektor Khai (Shaheizy Sam) ditugaskan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes Syabu Naga yang melibatkan operasi pengedaran dadah di Terengganu. Meskipun kes ini mempunyai kaitan dengan kes yang dikendalikan oleh Inspektor Khai sebelum ini, namun dia harus bekerjasama dengan Inspektor Sani (Zizan Razak) yang bertugas di Terengganu. Ini kerana Inspektor Sani lebih arif dengan selok-belok negeri kelahirannya itu. Walau bagaimanapun, mereka berdua mempunyai personaliti berbeza. Inspektor Khai seorang yang tegas dan sering bertindak tangkas dan ini berbeza sekali dengan Inspektor Sani, yang lebih mengikut prosedur dan protokol. Ketidakserasian itu membuatkan misi mereka hampir gagal. Segalanya berubah apabila ketua penjenayah, Izrail mula melibatkan keluarga Inspektor Sani dalam kes ini. Inspektor Khai dan Inspektor Sani kini sedar mereka perlu belajar bekerjasama bagi menyelesaikan misi mereka
INTI PATI
Polis Evo memiliki kebanyakan elemen hiburan yang telah ditetapkan oleh sekolah perfileman Hollywood - adegan polis mengejar penjahat, berbalas tembakan, kereta meletup, pergaduhan, komedi dan juga elemen cinta yang ringan.
Pengarah Polis Evo, Ghaz Abu Bakar mereplikasikan elemen ini dengan sangat baik dalam latar Malaysia, ditambah pula dengan latar dialek tempatan seperti penggunaan loghat Terengganu, watak gangster tempatan dan sedikit pemaparan budaya Melayu - Islam dalam beberapa babak.
Filem ini mendapat sentuhan yang baik dari filem-filem arahan Ghaz Abu Bakar sebelum ini seperti Hantu Kapcai dan Suami Aku Ustaz. Pemilihan Zizan Razak sebagai peneraju utama mungkin disebabkan beliau pernah berlakon filem arahan Ghaz sebelum ini iaitu Hantu Kapcai.
Adegan-adegan dalam Polis Evo disusun dengan logik tanpa membodohkan penonton seperti yang  dilakukan kebanyakkan filem-filem lain Malaysia.
Contohnya seperti dalam babak Inspektor Sani (lakonan Zizan Razak) menumbuk-numbuk dinding hospital kerana marah apabila mengetahui adiknya diculik penjahat. Walaupun perlakuan itu diperhatikan oleh salah seorang jururawat yang senag bertugas di situ yang tidak setuju dengan perbuatan tersebut tetapi dia tidak berani melarang. Walaupun babak ini kecil, teapi memberi signifikan dan menghormati intelek penonton terhadap isu bahawa perlakuan sebegitu tidak berani ditegur kerana orang yang melakukan perbuatan itu adalah polis.
Menghormati penonton adalah satu sifat jujur pengarah yang jarang ada dalam filem tempatan kini dan ia sangat dihargai. Pengarah tidak boleh sambal lewa berbuat itu ini dan berharap penonton sama ada cukup bodoh untuk tidak menyedarinya atau memaafkan sahaja kesilapan tersebut.

Nora Danish memegang peranan sebagai adik kepada Inspektor Sani
Dalam memastikan filem yang dihasilkan mencapai box office, pemilihan pelakon amatlah penting. Contohnya pemilihan Saheizy Sam dan Zizan Razak serta Nor Danish. Ketiga-tiga pelakon ini amat memenuhi kehendak Ghaz kerana pandai memainkan peranan dan watak masing- masing. Nora Danish, boleh cakap Terengganu beb…saya suka dengan Nora cakap dialek Terengganu. Memang menjadi…manakala Zizan pula memang pernah berlakon menggunakan dialek Terengganu seperti dalam Oh! My English. Sementara Saheizy Sam pula memang terkenal dengan machonya, bagi lah watak apa sekali pun pasti menjadi. Kalau tidak masakan dia boleh menang Pelakon Paling Popular saban tahun. Pemilihan  A. Galak yang memegang watak sebagai pegawai kepada Inspektor Khai adalah satu pilihan yang tepat kerana A. Galak adalah pelakon tetap dalam drama Gerak Khas dan secara tidak langsung beliau sudah kenal dan memahami selok belok dalam genre kepolisan.

Saheizy Sam sebagai Inspektor Khai

Ghaz bijak memanipulasi elemen-elemen dalam filem ini dengan memasukkan elemen Hollywood untuk menarik penonton bagi segenap lapisan umur. Adegan tembak menembak dan  kejar mengejar pastinya akan mendapat perhatian dari golongan kanak-kanak dan juga remaja.

Zizan Razak sebagai Inspektor Sani

Sebagai seorang pengarah yang berpengalaman beliau semestinya tahu tingkat hiburan yang dikehendaki orang ramai pada masa ini dan selera penonton Malaysia yang mahukan filem-filem trill seperti Polis Evo ini. Walau bagaimanapun  terdapat juga beberapa kesilapan semasa membikinkan Polis Evo seperti Inspektor Sani yang bertugas di kampung sendiri yang menampakkan sedikit pelik kerana secara hakikinya seseorang anggota polis itu akan ditugaskan ditempat yang tidak dikenali bagi megelakkan bias.
Berdasarkan sifir yang digunakan Ghaz dan Astro Shaw ini, saya berpandangan Polis Evo mungkin boleh diletakkan pada tingkat yang sama dengan Ombak Rindu.
Secara jujur, kita menghargai usaha gigih, kreativiti dan kebijaksanaan Ghaz dalam membikin Polis Evo yang mampu “meletupkan” pawagam dan membuat penonton secara umum berasa berbaloi membeli tiket.
Secara peribadi kita boleh terhibur dengan Polis Evo, malah boleh sangat terhibur sambal melayan keluarga. Tetapi selepas dua puluh atau tiga puluh tahun, barangkali tidak ada satu babak pun dalam filem itu yang melekat kuat di kepala dan hati kita. Saya amat mengharapkan agar Ghaz Abu Bakar boleh mengarahkan lagi filem-filem seperti ini dengan lebih treler.

Sampai di sini dulu yer….saya bukan lah pandai sangat bab-bab memgulas filem tapi apa saya tulis adalah hasil dari pemikiran dan pendapat saya sendiri…..semoga industri filem kita beerkembang maju selaras dengan peningkatan teknologi masa kini….

Sampai jumpa lagi di coretan akan datang….bye…



Artikel Jurnal Bidang Komunikasi





PEMILIHAN BAHASA DALAM KOMUNIKASI DI LAMAN SOSIAL

PENGENALAN

Secara umum komunikasi merupakan proses pengiriman dan penerimaan pesan atau berita  antara dua individu atau lebih dengan menggunakan saluran yang tertentu untuk menyampaikan mesej supaya dapat difahami oleh penerima. Menurut Shannon & Weaver, 1949,  komunikasi adalah bentuk interaksi manusia yang saling pengaruh mempengaruhi satu sama lainnya, sengaja atau tidak sengaja. Tidak terbatas pada bentuk komunikasi menggunakan bahasa verbal, tetapi juga dalam hal ekspresi muka, lukisan, seni, dan teknologi. Manakala Rogers & D. Lawrence Kincaid (1981) pula berpendapat komunikasi adalah suatu proses di mana dua orang atau lebih membentuk atau melakukan pertukaran informasi dengan satu sama lainnya, yang pada gilirannya akan tiba pada saling pengertian yang mendalam. Komunikasi juga sebagai penyampaian informasi dan pengertian dari seseorang kepada orang lain serta dapat berjalan dengan baik apabila adanya saling mengerti antara pengirim dengan penerima informasi.

Sementara bahasa memainkan peranan yang penting dan amat diperlukan dalam kehidupan manusia. Apabila bahasa itu tidak ada maka seseorang tidak dapat menyampaikan maksud dan juga tujuannya, yang hingga akhirnya akan menjadi sepi dan tidak menghasilkan apa-apa. Menurut Gorys Keraf (1997: 1), bahasa adalah alat komunikasi antara anggota masyarakat berupa simbol bunyi yang dihasilkan oleh alat ucap manusia manakala menurut Felicia (2001: 1), bahasa adalah alat yang digunakan untuk dapat berkomunikasi sehari-hari, baik bahasa lisan atupun bahasa tulis. Syamsuddin (1986: 2), pula menyatakan bahasa mempunyai dua pengertian. Pertama, bahasa ialah alat yang dipakai untuk membentuk fikiran serta perasaan, keinginan dan perbuatan-perbuatan, alat yang dipakai untuk mempengaruhi serta dipengaruhi dan kedua, bahasa ialah tanda yang jelas dari keperibadian yang baik ataupun yang buruk, tanda yang jelas dari keluarga serta bangsa, tanda yang jelas dari budi kemanusiaan.

PERBINCANGAN

Pemilihan bahasa memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan sesuatu mesej di laman sosial. Penulisan jurnal oleh Sa’adiah Ma’alip dari Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk Pemilihan Bahasa Dalam Komunikasi Di Laman Sosial adalah bertujuan untuk meninjau pemilihan bahasa dalam komunikasi oleh pengguna laman social dengan menggunakan responden kajian yang meliputi penggunaan laman sosial dalam kalangan remaja, belia dan dewasa. Hasil kajian menunjukkan bahawa pola pemilihan bahasa yang menjadi pilihan utama di laman sosial adalah bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Kewujudan teknologi maklumat sebagai alat rangkaian sosial telah menyebabkan berlakunya komunikasi dua hala di alam maya. Dengan kemudahan yang ada dalam sistem komunikasi telah menyebabkan masyarakat mula beralih menggunakan teknologi internet sebagai alat komunikasi. Menurut Fatimah Akmal & Ali Salman (2015), hal ini berlaku selaras dengan perkembangan pesat proses komunikasi global yang telah membentuk masyarakat dalam cara baru untuk berkomunikasi dan menerima proses komunikasi yang berbeza. Sehubungan dengan kemunculan teknologi maklumat yang semakin berkembang, penggunaan laman sosial turut mendapat perhatian setiap golongan masyarakat dan dilihat sebagai satu revolusi terkini yang dapat menghubungkan seseorang dengan sekelip mata walau berada di merata dunia melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter, Friendster dan Instagram tanpa sempadan. Pemilihan bahasa berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah disebabkan oleh kemampuan seseorang untuk menutur lebih daripada satu bahasa yang dirasanya  paling biasa dan selesa. Romaine (1994) menganggap pemilihan bahasa sebagai act of identify, yang mana pemilihan bahasa oleh seseorang dapat menunjukkan sama ada penutur tersebut ingin melibatkan diri atau pihak lain dalam sesuatu komuniti pertuturan (speech community) atau tidak. Pada pendapat Holmes (2008) pula, seseorang penutur memilih suatu bahasa atau kod tertentu berbanding dengan bahasa yang lain mungkin disebabkan bahasa tersebut memudahkan penutur untuk membincang topik yang sedang diperkatakan. Konsep domain yang digunakan dalam kajian ini dijadikan sebagai asas kerangka teori untuk meninjau pemilihan bahasa dalam laman sosial. Holmes (2008), juga menyatakan domain melibatkan suatu interaksi tertentu antara peserta-peserta yang tertentu dalam latar yang tertentu iaitu domain melakarkan tiga faktor yang penting dalam pemilihan bahasa, iaitu peserta, latar dan topik.

Oleh itu, pemilihan bahasa responden ditinjau berdasarkan beberapa tujuan komunikasi yang biasa berlaku dalam laman social dan mendapati responden berkecenderungan menggunakan beberapa bahasa iaitu bahasa Melayu sebanyak 47.2%, bahasa Inggeris 42.8%, bahasa Cina 5.0%, bahasa India 3.3%  dan 1.7%  bagi bahasa lain. Ini menunjukkan kebanyakan responden lebih gemar menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di samping bahasa lain sebagai kod komunikasi untuk menyatakan pendapat, pemikiran dan perasaan diri menulis status tentang diri sendiri dalam laman sosial. Manakala bagi tujuan komunikasi untuk menerangkan gambar yang diposkan sendiri pula, bahasa Melayu masih lagi menjadi pilihan utama dengan 45.6%  diikuti oleh Bahasa Inggeris sebanyak 47.2%, bahasa Cina pula sebanyak 5.0% dan bahasa India serta bahasa-bahasa lain sebanyak 1.1% sahaja. Pemilihan bahasa yang dibuat menunjukkan bahawa kebanyakan daripada responden India dan China tidak menggunakan bahasa mereka jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan. Bagi tujuan komunikasi ini, kajian menunjukkan walaupun bahasa Inggeris bukan bahasa pertama responden, tetapi ia mencatatkan kadar pemilihan yang tertinggi iaitu sebanyak 60.0%. Hasil kajian ini menjelaskan bahasa Melayu menjadi pilihan utama apabila bersembang iaitu sebanyak 50.6% dan diikuti oleh bahasa Inggeris sebanyak 46.1% sementara bahasa  Cina dan India masing-masing sebanyak 1.1%  dan 2.2% sahaja.

KESIMPULAN

Pemilihan bahasa yang digunakan di laman sosial amat penting dalam menyampaikan mesej dan menjalinkan hubungan. Analisis dilakukan mengikut teori domain yang diperkembangkan oleh Fishman (1972) menunjukkan pemilihan bahasa responden dalam laman sosial mempunyai tujuan atau fungsi komunikasi yang berlainan.  Dapatan kajian menunjukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mencatatkan peratus pemilihan yang paling tinggi dalam kalangan responden.  Bahasa Cina, bahasa India dan lain-lain bahasa turut menjadi pilihan walaupun peratusnya tidak dapat mengatasi pemilihan terhadap bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

RUJUKAN

Sa’adiah Ma’alip (2015).  Pemilihan bahasa dalam komunikasi di laman sosial, Jurnal Komunikasi  Malaysian  Journal of  Communication Jilid 31(2) 2015: 231-246. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kamus Dewan Edisi 5: http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=definisi





Friday 5 August 2016

Artikel Jurnal Bidang Bahasa dan Sastera






PRO DAN KONTRA PENERBITAN KARYA SASTERA INDIE DI MALAYSIA


PENGENALAN

Sastera berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu “castera”. Kesusasteraan adalah kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Menurut Hashim Awang, sastera adalah ciptaan atau karya seni yang disampaikan melalui bahasa. Hasil seni (karyatulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu bersandar pada zaman. Peradaban dan martabat sesuatu bangsa itu dapat dilihat melalui karya tradisional atau klasik yang dimiliki dan bangsa Melayu tidak terkecuali dalam hal ini. Era Tradisional merujuk kepada dinilai sebelum wujud teknologi penerbitan (SasteraLisan) manakala moden pula merujuk kepada selepas teknologi penulisan dan boleh dibuktikan sebagai teks. Ani Hj Omar (2011) menyatakan bahawa sastera berfungsi untuk menghargai karya-karya kreatif yang telah dihasilkan oleh para penulis tanah air mahupun luar negara. Karya-karya ini ditulis dalam pelbagai genre seperti cerita rakyat, panji, epic, hikayat dan sebagainya.

Pada zaman teknologi dan kebebasan bersuara dalam menyampaikan maklumat hari ini, masyarakat dunia semakin bebas meluahkan idea serta pandangan hidup mereka dalam sesuatu isu. Setiap orang boleh menjadi penulis dan menerbitkan tulisannya dengan lebih mudah berbanding zaman dahulu. Dalam dunia penulisan hari ini, kemunculan karya-karya jenis indie ternyata mendapat saingan yang hebat dari penerbitan karya-karya sastera melayu lain. Penulisan baru yang digelar sastera atau penulisan indie telah menjadi seperti sebuah fenomena yang diminati ramai. Penulis-penulis baharu tumbuh bagai cendawan dan menjadi popular dalam sekelip mata sahaja.  Majoriti penulisnya pula adalah muda belia yang selama ini ada yang tidak dikenali langsung. Pada masa dahulu orang yang sudah terkenal dalam bidang masing-masing yang menulis buku untuk kongsikan pengalaman dan pandangan hidup mereka, tetapi pada hari ini orang yang tidak dikenali menjadi terkenal kerana buku yang mencatat pandangan dan pengalaman hidup mereka.

Karya-karya indie semakin diminati oleh pengemar-penggemar sastera kerana proses penerbitan buku indie tidak dikawal dengan ketat seperti penerbitan buku lain seterusnya membolehkan karya jenis ini sentiasa mempunyai penerbitan yang terkini di pasaran. Perkembangannya yang semakin popular disebabkan wujudnya kesedaran bahawa sastera remaja bukan sahaja memberi hiburan, keseronokan dan pengetahuan, malahan merupakan wadah untuk menyampai mesej dan menerapkan unsur-unsur pembinaan insan dan seterusnya melahirkan generasi yang unggul. Perkembangan yang memberangsangkan ini dapat dilihat dengan bertambahnya manuskrip dalam pelbagai genre seperti novel, cerpen, puisi dan drama yang perlu diberi perhatian sewajarnya.


PERBINCANGAN ISU

Sastera Indie merupakan karya yang ditulis oleh pengarang baharu dan masih muda dalam penerbitan. Mereka menjadikan ruang ini sebagai alternatif untuk menyiarkan karya mereka yang santai dan terikat dengan mana-mana peraturan dalam undang-undang penerbitan kerana proses penerbitan karya inde tidak dikawal ketat oleh mana-mana pihak. Karya indie menjadi semakin diminati ramai kebelakangan ini terutamanya generasi muda kerana kandungannya bersesuaian dengan jiwa mereka. Dengan kemudahan mencetak yang murah dan cara promosi yang meluas melalui media sosial seperti Facebook atau Twitter, kemunculan karya-karya indie semakin mendominasi, bahkan menyaingi jualan dan populariti karya-karya arus perdana.

Walau bagaimanapun kemunculan karya indie menimbulkan pelbagai spekulasi tentang pro dan kontra karya tersebut. Rafidah Eksan dalam Dewan Sastera Ogos 2016 melalui sisipan reaksi dengan penulisan yang bertajuk ‘Pro dan Kontra Penerbitan Karya Sastera Indie Di Malaysia menyingkap kelebihan dan kekurangan kemunculan sastera indie ini. Antara kelebihan-kelebihannya ialah melahirkan pengarang baharu dalam bidang penulisan secara tidak langsung menambahkan lagi jumlah penulis-penulis di Malaysia. Selain itu, dengan tiada penilaian dan penapisan dari pihak berwajib mendorong penulis menghasilkan pelbagai karya-karya indie yang baru dengan pelbagai jenis penulisan. Disamping itu, penerbitan karya indie  tidak memerlukan kos yang banyak kerana kesudian syarikat-syarikat penerbitan untuk menerbitkan karya-karya mereka dan secara tidak langsung menambah pendapatan syarikat tersebut.

Perkembangan pesat karya-karya indie ini juga merupakan satu kelebihan disebabkan kaedah pemasaran yang agresif dengan mempromosikan terbitan karya-karya ini melalui kaedah sistem pesanan ringkas (SMS) dan buku elektronik (e-buku). Selain itu, penerbitan karya indie ini lebih bebas berbanding penerbitan karya sastera  lain dan harga jualan yang ditawarkan  juga mampu  dimiliki serta lebih murah berbanding  dengan buku-buku dari syarikat yang lain.

Disamping kelebihan-kelebihan karya indie,  Rafidah Eksan juga meninjau beberapa kelemahan penerbitan karya-karya tersebut. Antaranya ialah karya-karya yang terbitkan berkecenderungan memiliki kesalahan dan melanggar etika penerbitan kerana tiada proses penilaian dan penyuntingan sebelum karya itu di terbitkan. Selain itu gaya penulisan yang agresif telah melanggar nilai-nilai norma masyarakat Malaysia yang terkenal dengan penuh sifat sopan santun dan berbudi bahasa. Penerbitan karya indie juga mementingkan keuntungan kerana karaya yang diterbitkan adalah menurut permintaan pasaran dan ianya  adalah berbentuk hiburan semata-mata tanpa mementingkan aspek-aspek pembangunan dan kemajuan negara.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, tulisan-tulisan ini adalah cerminan apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat, baik ataupun buruk. Sudah semestinya karya-karya indie ini bukan negatif atau buruk kesemuanya, tetapi apa yang mahu dijelaskan di sini, ia adalah cerminan apa yang ada dalam masyarakat.



RUJUKAN


Rafidah Eksan (2016).  Pro dan Kontra Penerbitan Karya Sastera Indie Di Malaysia dalam Dewan Sastera Ogos 2016 hal. 55-57.

Mohd Hasnul Mohd Sani (2016). Meng”indie”kan kesusasteraan dalam Dewan Sastera Ogos 2016 hal. 22-24.

Razali Endun (2016).Dilema sastera melayu dalam Dewan Sastera Ogos 2016 hal. 46-48.
http://duniakesusasteraan.weebly.com